Translate

Tuesday, September 3, 2019

Tukang rumah ke tali gantung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan kejam seorang tukang rumah menikam bakal abang iparnya sehingga mati tiga tahun lalu berbalas apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan hukuman itu terhadap Mohd. Hafiz Mohamad, 32, yang berasal dari Kampung Baloh, Manir dekat sini setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan kepada kes prima facie yang berjaya dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Hafiz didakwa membunuh Muhamad Shukri Husin, 37, yang merupakan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pengkalan Kubor, Kelantan pada pukul 11.39 pagi, 16 Oktober 2016.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di kawasan tempat letak kereta Kompleks Seri Iman di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mazlan Md. Zain.
Mengikut fakta kes, Mohd. Hafiz didakwa menikam Muhamad Shukri dengan sebilah pisau sebanyak enam kali sebelum dia melarikan diri dengan sebuah kereta Honda Civic.

Pada 17 Oktober 2016, Kosmo! melaporkan Muhamad Shukri maut selepas ditikam Mohd. Hafiz yang juga bakal adik ipar­nya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman.
Tertuduh yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, dipercayai bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang telah dibongkar oleh keluarga kekasihnya itu.

Sebelum kejadian, mangsa dan ahli keluarganya menemani Azlina untuk memeriksa status perkahwinan Mohd. Hafiz di Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu yang terletak di dalam Kompleks Seri Iman berkenaan.

Selepas kejadian itu, Mohd. Hafiz melarikan diri dengan bantuan seorang rakan menaiki Honda Civic sebelum diberkas empat hari kemudian dalam keadaan lemah dan kelaparan di Kampung Petai Bubus, Manir.

No comments:

Post a Comment