Translate

Tuesday, September 10, 2019

Bapa 73 tahun tekad jaga anak perempuan terlantar sakit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitulah pen­deritaan yang perlu ditanggung seorang lelaki warga emas yang terpaksa menjaga anak perem­puannya yang terlantar sakit akibat lumpuh separuh badan sejak dua tahun lalu.

Yusof Nik, 73, berkata, kea­daan yang menimpa Norizan Yusof, 38, yang merupakan anak kelima daripada 14 beradik bermula selepas dia terkena serangan strok disebabkan tekanan darah tinggi dan kadar kolestrol tinggi pada November 2017.

“Serangan strok itu telah mengubah hidupnya daripada seorang aktif kepada ha­nya terlantar di atas katil selama 24 jam. Kehidupan sehariannya juga perlu dibantu dan diberi perhatian khas.

“Tambah merisaukan saya, dia tidak boleh dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan keluarga kerana sering diserang sawan yang membuatkan tubuhnya kejang dan mulutnya berbuih,” kata Yusof yang tinggal bersama isteri dan dua anaknya di Kampung Kuala Bekah di sini.
Yusof berkata, dia memerlukan RM800 untuk dibelanjakan setiap bulan bagi membeli keperluan Norizan se­perti susu formula khas, lampin pakai buang dan kos rawatan ke hospital.

Menurutnya, bagi menampung mereka sekeluarga, dia terpaksa berniaga dengan menjual air tebu dan memperoleh pendapatan purata RM600 sebulan.

Sehubungan itu, Yusof merayu bantuan orang ramai untuk  menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Norizan, 1110-0290-0005-5130 atau menghubungi anak bongsunya, Siti Nabila Shuhada di talian 019-786 7367.

No comments:

Post a Comment