Translate

Monday, September 2, 2019

Penempatan pegawai integriti SPRM di pejabat Menteri Besar, Ketua Menteri

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri disaran agar memberi ruang kepada penempatan pegawai integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, penempatan pegawai itu bertujuan untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan lagi ketelusan dalam pentabdiran sekali gus mengelakkan sebarang tohmahan terhadap isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Setakat ini, hanya kerajaan negeri Sarawak menempatkan pegawai integriti di pejabat Ketua Menteri dan kita harap negeri-negeri lain menjadikannya contoh.

"Sebenarnya dibandingkan dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri lebih berpotensi untuk terdedah dengan unsur rasuah kerana mempunyai lebih sumber sama ada pembalakan, tanah dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Sesi Dialog bersama Pemain Industri Perhotelan dan Syarikat Berkaitan kerajaan negeri (GLC) Terengganu anjuran Hotel Primula yang turut disertai Pengurus Besarnya, Suaibah Harun.


Sebelum ini, SPRM telah menempatkan pegawai-pegawai kanannya di unit integriti yang diwujudkan di kementerian, agensi kerajaan dan GLC di peringkat persekutuan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment