Translate

Sunday, September 8, 2019

UniSZA pantau tahap kesihatan kakitangan Laguna Redang Island Resort

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Pengusaha penginapan terkenal di Pulau Redang, Laguna Redang Island Resort mengambil inisiatif menjalin kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi meningkatkan tahap kesihatan 300 kakitangannya.

Pengarah Urusan Laguna Redang Island Resort, Toh Seng Lip berkata, dengan kerjasama berkenaan, UniSZA menerusi Fakulti Sains Kesihatan akan memantau tahap kesihatan pekerja dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

"Pekerja merupakan antara pemegang taruh penting bagi syarikat dan produktiviti mereka pasti meningkat sekiranya berada dalam keadaan sihat dan cergas.

"Begitupun, saringan kesihatan yang dijalankan UniSZA pada bulan Mac lalu mendapati lebih 80 peratus daripada kakitangan kami berisiko mengalami obesiti dan paras kolestrol tinggi yang memungkinkan masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi," katanya.

Terdahulu beliau menandatangani Memorandum Perjanjian dengan UniSZA yang diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hasan Basri Awang Mat Dahan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Seng Lip memberitahu, UniSZA menyediakan perkhidmatan pakar pemakanan bagi memberi nasihat dan pemeriksaan kesihatan selain merangka pelan gaya hidup merangkumi pemakanan dan latihan fizikal kepada kakitangannya.

"Laguna Redang Island Resort menyediakan geran tahunan RM18,000 untuk menjayakan program berkenaan.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pekerja yang terlibat berjaya menurunkan berat badan dan paras kolesterol masing-masing sekali gus kembali menjadi individu sihat menerusi program ini," katanya.


Sementara itu, Hasan Basri berkata, kerjasama dengan Laguna Redang Island Resort merupakan sebahagian program komuniti UniSZA bagi menggalakkan masyarakat menjalani gaya hidup sihat. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment