Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Usia muda 21 tahun dan baru menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Kewangan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini bukan halangan buat Mohamad Hanis Hazman Azizan bertindak memberanikan diri mengusahakan sebuah restoran.
Restoran The Nelang Cafe yang diusahakannya di Jalan Gong Badak di sini sejak lebih sebulan lalu semakin mendapat sambutan dan menjadi sebutan dalam kalangan penduduk setempat serta pelancong.
Dia yang berasal dari Sungai Rengas, Kuala Terengganu berkata, minatnya untuk terlibat dalam perusahaan makanan mula bercambah sewaktu bekerja sambilan di beberapa restoran ketika masih bergelar penuntut.
“Pengalaman menguruskan restoran dan memasak yang dipelajari semasa bekerja membuatkan saya nekad untuk menjadi usahawan sebaik menamatkan pengajian tanpa menunggu majlis konvokesyen dijangka berlangsung hujung tahun ini.
“Alhamdulillah, hasrat saya direstui keluarga dan membiayai kos membuka restoran tersebut yang terletak berhampiran kampus UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mohamad Hanis Hazman berkata, nasi ayam penyet, nasi tilapia penyet dan ayam goreng istimewa menjadi menu utama The Nelang Cafe.
Ujarnya, ketiga-tiga hidangan itu diolah sendiri selepas mempelajarinya menerusi laman sosial seperti Youtube dan Facebook.
“Saya berlatih memasaknya sendiri dan mengolahnya agar menepati cita rasa pelanggan dan penduduk tempatan.
“Saya juga belajar menghasilkan sendiri air boba yang menjadi trend masa kini agar ia dapat dijual pada harga mampu milik,” katanya.
Mohamad Hanis Hazman berkata, kebanyakan menu makanan di restorannya ditawarkan pada harga berpatutan iaitu antara RM5.50 dan RM8 manakala pakej berserta air buah berharga RM10.
Tambahnya, air boba pula dijual pada harga RM5.90. Namun, katanya, ia boleh dinikmati pada harga RM1 jika dibeli bersama pakej makanan menu utama. Tambahnya, golongan pelajar diberi tawaran istimewa untuk pakej menu utama bersama air teh ais pada harga RM5.80 sekiranya menunjukkan kad pelajar.
No comments:
Post a Comment