JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) lega berjaya membawa pulang bekalan berharga selepas menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 1-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil kerjasama berpasukan anak-anak buahnya.
“Saya berpuas hati dengan pemain-pemain (JDT) yang telah memberi persembahan mengagumkan pada aksi malam ini (kelmarin).
“Benteng pertahanan berjaya mempertahankan gawang pasukan dengan cemerlang manakala barisan serangan pula menjalankan tugas dengan baik untuk merobek gawang lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Pada aksi berkenaan, JDT memperoleh bekalan berharga menerusi jaringan penyerang import, Diogo Luis Santo pada minit ke-21.
Begitu pun, Mora mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu terbuai dengan kemenangan itu kerana masih ada baki 90 minit aksi suku akhir kedua yang perlu dihadapi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 28 September ini.
Mora berkata, persiapan untuk pertembungan itu perlu dilakukan segera bagi memastikan kelebihan yang diperoleh di Kuala Terengganu dapat dipertahankan.
“Kita perlu mengekalkan aksi cemerlang pada pertemuan berkenaan dan jangan beri sebarang ruang kepada pemain TFC I untuk bangkit,” katanya.
No comments:
Post a Comment