Translate

Friday, September 20, 2019

Halusi cadangan gabung UMT, UniSZA

Cadangan penggabungan dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima reaksi pelbagai pihak.

Keputusan Kabinet pada 4 September lalu dengan dakwaan ia bertujuan bagi penjimatan kos telah didedahkan sebuah portal berita sehingga menggemparkan warga dua IPTA tersebut terutama dalam kalangan pelajar.

Desas-desus itu disahkan Kementerian Pendidikan seminggu kemudian menerusi satu kenyataan pada 11 September lalu.

Berdasarkan kenya­taan Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi itu, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip tentang penggabungan UMT dan UniSZA.

Rasional cadangan tersebut untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti dan komuniti setempat selaras de­ngan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan sedang membentuk jawatankuasa khas yang dianggotai semua pemegang taruh bagi menggerakkan penggabungan berkenaan yang dijangka mengambil masa setengah tahun.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam reaksinya beberapa hari selepas itu menjelaskan, idea penggabungan tersebut dibuat berikutan pencapaian UMT tidak memuaskan termasuk kebolehpasaran graduannya.

“UMT dan UniSZA juga didapati menawarkan kursus pengajian yang hampir sama selain kedudukan kampus utama kedua-dua IPTA yang terletak di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu itu berhampiran iaitu kurang satu kilometer,” katanya di Putrajaya baru-baru ini.

Sebagai rekod, UMT yang merupakan institusi pengajian pelopor dalam bidang sains dan akuakultur tempatan bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera pada 1979 sebelum dinaik taraf sebagai universiti pada 2007.

UniSZA pula berasal daripada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang ditubuhkan pada 1980 dan memberi penekanan kepada bidang berkaitan syariah dan agama Islam sebelum kursusnya dikembang selepas dinaik taraf sebagai universiti pada 2006.

Berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ran­king 2020, UMT berada pada kedudukan 291-300, manakala UniSZA pula 451-600.

Bagi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan pula, UMT dan UniSZA masing-ma­sing menerima pengiktirafan lima dan empat bintang.

Kebolehpasaran graduan UniSZA pada tahun lalu ialah 79 peratus, manakala UMT (67.5 peratus).

Keseriusan UMT dalam tujahan maritim terbukti menerusi Institut Oseanografi dan Sekitaran yang berstatus Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi dan diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Industri kluster Maritim oleh Kementerian Pendidikan.

UniSZA pula dengan projek Hospital UniSZA yang di­sasarkan beroperasi sebagai hospital komuniti pertama di negara ini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

Mengulas isu tersebut, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, cadangan penggabu­ngan UMT dan UniSZA tidak boleh dimuktamadkan secara terburu-buru.

Ahli Parlimen Besut itu berkata, beliau secara peribadi berpendapat terma penggabungan bukanlah satu-sa­tunya jalan penyelesaian terbaik bagi memaksimumkan potensi sesebuah universiti selain memberi penjimatan seperti dimahukan Kementerian Pendidikan.

“Sewaktu saya menjadi menteri, kementerian telah memperkenalkan konsep permuafakatan antara universiti yang menggalakkan semangat guna sama, kolaborasi dan persai­ngan sihat bagi memberi pendidikan terbaik kepada mahasiswa.

“Kita juga berusaha merangka strategi peningkatan daya saing universiti dalam pelbagai bidang dengan pengurusan perbelanjaan cekap,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Idris berkata, penubuhan kedua-dua IPTA masing-masing berkait rapat dengan landskap Terengganu sebagai negeri yang sinonim dengan bidang maritim dan sumbernya serta memiliki tradisi sistem pendidikan Islam unggul sejak zaman awal Kesultanan Melayu Terengganu.

“Sebab itu, sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu (2004 -2008), saya telah memainkan inisiatif agar Pusat Perikanan dan Sains Samudera serta KUSZA, masing-masing dinaik taraf sebagai dua universiti ber­asingan walaupun wujud cadangan ia disatukan.

“Janganlah kerana mahu mencari jalan mudah, sejarah penubuhan, fokus, identiti dan masa depan kedua-dua universiti ini hendak dikorbankan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Warisan Pendidikan Negeri Terengganu, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad mahu keputusan penggabungan UMT dan UniSZA perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan sebelum dimuktamadkan.

“Saya difahamkan kerajaan negeri tidak dirujuk langsung dalam cada­ngan tersebut. Pengurusan dan pelajar kedua-dua universiti juga terpinga-pinga sehingga menimbulkan pelbagai reaksi,” katanya.

No comments:

Post a Comment