Translate

Friday, September 13, 2019

SMK Panji Alam raih anugerah Ikon Kujuruteraan Reka Bentuk Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam dinobat sebagai Murid Bestari Cemerlang Ikon Kejuruteraan Reka Bentuk pada majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Terengganu hari ini.

Pemilihan Nur Salsabila Abdul Rahman, Rushdina Sofea Rusydan, Abi Amaar Arshad, Siti Nabilah Syahirah Roslan dan Muhammad Ajwad Mohd. Zamri yang kesemuanya berusia 17 tahun berdasarkan kejayaan mereka mengharumkan nama negara selepas muncul johan dalam pertandingan Inovasi Dunia di Romania pada Mei lalu.

Penolong Kanan Pentadbiran SMK Panji Alam, Mohd. Zaki Mohd. Salleh berkata, anugerah merupakan pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang kesemua pelajarnya yang berjaya menghasilkan produk penapis air daripada bahan mesra alam bertaraf antarabangsa.

"Produk tersebut bukan sahaja menewaskan peserta di 60 sekolah di seluruh dunia pada pertandingan berkenaan malah turut menarik minat beberapa syarikat di Eropah untuk mengkomersialkannya.

"Ia membuktikan pelajar sekolah harian biasa juga mampu menghasilkan produk inovasi bertaraf dunia sekali gus menjadi inspirasi kepada yang lain," katanya selepas menyaksikan majlis Anugerah Pembestarian Sekolah Terengganu di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT) di sini hari ini.


Anugerah tersebut disampaikan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Shafruddin Ali Hussin. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment