Translate

Wednesday, September 18, 2019

Sambutan Hari Malaysia meriah

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Malaysia 2019 disambut meriah di seluruh negara biarpun beberapa negeri dilanda jerebu semalam.

Sambutan peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak pada malam tadi juga tidak terjejas walaupun bandar raya itu dilanda jerebu.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia berkain sarung dan memakai pakaian tradisional menyertai program Keretapi Sarong 2019 di lima stesen MRT semalam.

Para peserta mengenakan kain sarung pelbagai warna melangkah dengan bangga, berarak melalui jalan-jalan di ibu negara dan berkumpul di ste­sen Masjid Jamek sebelum beralih ke Dataran Merdeka.

Kesemua peserta menyanyikan lagu-lagu patriotik di sepanjang jalan.
Di Kelantan, sebanyak 67 kontinjen membabitkan 2,345 peserta menyertai perbarisan yang berlangsung di pekara­ngan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Turut diadakan pentomin mengenai sejarah perjuangan Haji Mohd. Hassan Munas atau Tok Janggut menentang penjajah British di Pasir Puteh yang dibawakan oleh Kelab Jihad Putera Jeram Pasir Puteh.

Di Negeri Sembilan pula, Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat menganjurkan Karnival Hari Malaysia 2019 DUN Sikamat yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar.
Pada karnival itu, pengunjung berpeluang menaiki belon udara panas selain pelbagai aktiviti menarik antaranya Larian Santai 10,000 Langkah Kemerdekaan, pertunjukan ular oleh Jabatan Perhilitan dan menaiki kereta kuda.

Di Terengganu, seramai hampir 400 penduduk di Hulu Terengganu meraikan sambutan Hari Malaysia 2019 dengan cara berbeza berakit menyelusuri Sungai Terengganu dari Jeti Kampung Dusun, Kuala Berang ke Jeti Tanjung Ketom, Kuala Terengganu.
Acara itu bertujuan mendedahkan peserta mengenai keindahan Sungai Terengganu yang amat dekat dengan sejarah dan asal-usul negeri itu.

Dalam pada itu, di  Sabah, warga Kampung Mengkabong di Tuaran tidak mahu ketinggalan me­ngadakan perarakan perahu nelayan.

Lebih 100 perahu nelayan menyertai perarakan bagi mengisi sambutan Hari Malaysia yang sememangnya membawa erti signifikan kepada  khususnya rakyat di Sabah.

No comments:

Post a Comment