Translate

Thursday, September 12, 2019

Dadah bernilai RM600,000 dirampas

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hajat seorang penganggur yang mahu berjinak-jinak menjadi pengedar dadah tidak kesampaian apabila dia diberkas polis di rumahnya di Kampung Padang Machang, Manir dekat sini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, sebanyak 60,000 pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan berjumlah RM600,000 telah berjaya dirampas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, rampasan dadah daripada lelaki berusia 34 tahun tersebut merupakan yang terbesar di negeri ini pada tahun ini.

"Suspek mengaku baru pertama kali mengambil bekalan dadah terbabit yang dipercayai berasal dari negara jiran dan bercadang untuk mengedarkannya bagi pasaran daerah ini dan Kuala Nerus.

"Berdasarkan soal siasat awal, bekalan dadah dalam skala besar berkenaan telah disimpan di rumahnya sejak Hari Raya Aidiladha pada bulan lalu dan dia sedang menunggu masa sesuai untuk diedarkan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.


Aidi berkata, ujian urin terhadap lelaki itu yang mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment