BESUT – Penduduk Kampung Padang Baloh, Jerteh di sini kelmarin gempar dengan penemuan seekor buaya tembaga seberat hampir 80 kilogram yang berjemur di tepi sawah padi.
Penemuan buaya tembaga sepanjang kira-kira dua meter itu disedari beberapa pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pemasangan paip pembetung di kawasan parit di kampung itu pada pukul 10 pagi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malik Mohd. Yusof berkata, lima pekerja terbabit telah ternampak kelibat seekor buaya tembaga merangkak keluar dari parit berkenaan.
“Buaya tembaga itu kemudian berjemur di tepi kawasan sawah tidak jauh dari lokasinya ditemui sehingga menarik perhatian penduduk kampung.
“Pekerja itu kemudian memberanikan diri menangkap buaya tembaga berkenaan kerana bimbang haiwan reptilia itu boleh memberi ancaman kepada penduduk sekiranya dibiarkan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Katanya, walaupun agak agresif pada mulanya, buaya itu akhirnya berjaya ditangkap apabila lehernya dijerut dengan menggunakan seutas tali.
“Buaya tembaga itu dipercayai memasuki sawah padi itu setelah tersesat dari habitat asalnya. Haiwan itu dilepaskan semula ke sungai berhampiran semalam," jelasnya.
No comments:
Post a Comment