Translate

Monday, September 2, 2019

Tragedi konvoi motosikal

KUALA NERUS – Kegembiraan empat sahabat yang berkonvoi dengan motosikal sempena cuti Hari Kebangsaan dan Maal Hijrah ber­akhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemala­ngan di Jalan Merang berhampiran Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Amir Fikri Mohd. Sabri (gambar), 17, yang merupakan seorang pelayan di sebuah kedai makan maut di lokasi kejadian akibat kece­deraan parah pada kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd. Razak Hassan berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Amir Fikri bersama tiga rakannya yang masing-ma­sing menunggang motosikal dalam perjalanan berkonvoi ke Merang, Setiu dari Wakaf Tengah di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh belakang motosikal salah seorang kawannya yang turut berkonvoi.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Abd. Razak berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat, manakala tiga lagi rakan mangsa yang turut menyertai konvoi ber­kenaan tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment