Translate

Friday, September 13, 2019

Tchetche tekad bantu TFC 1 ulangi kejayaan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) berikrar untuk tidak ‘memberi muka’ kepada Kedah yang bakal bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk aksi kelima Kumpulan A, Piala Malaysia malam ini.

Ayam tambatan TFC I, Kipre Tchetche berkata, aksi di gelanggang sendiri itu merupakan medan terbaik untuk dia dan rakan-rakan sepasukan melangsaikan misi mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

“Kemenangan adalah pilihan terbaik yang kami ada untuk mengesahkan tiket ke suku akhir walaupun lawan kami kali ini, Kedah bukan calang-calang pasukan.

“Kami telah membuktikan mampu menjinakkan Kedah 2-0 di gelanggang lawan pada pusingan pertama Kumpulan A sebelum ini dan mahu mengulanginya semula di hadapan penyokong sendiri, malam esok (ini),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Tchetche yang merupakan penyerang yang meledak kedua-dua gol penting pada pertemuan dengan Kedah itu memberitahu, tempoh rehat dua minggu telah digunakan skuad Penyu untuk mengatur taktikal dan strategi ampuh bagi menjinakkan skuad Lang Merah berkenaan.

Pemain import kelahiran Ivory Coast itu juga berkata, mereka juga telah membaiki kelemahan selepas mendapat pengajaran berguna ketika tewas 2-3 dengan Negeri Sembilan sebelum ini.

Setakat empat aksi awal, TFC I mengungguli kedudukan teratas Kumpulan A dengan sembilan mata diikuti Kedah (tujuh mata), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (empat mata) dan Negeri Sembilan (tiga mata).

No comments:

Post a Comment