Translate

Saturday, September 21, 2019

Kegemilangan Pantai Rantau Abang akan dikembalikan

MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Majlis Perbandaran Dungun (MPD) komited untuk mengembalikan kegemilangan Pantai Rantau Abang di sini yang pernah menjadi tumpuan pelancongan sebagai pusat pendaratan penyu utama di Terengganu sehingga lewat 1990-an.

Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat berkata, pihaknya telah memberi fokus khas untuk meningkatkan kembali pendaratan penyu sekali gus menarik kembali kehadiran pelancong ke pantai berkenaan.

"Kami mahu mengembalikan kegemilangan Pantai Rantau Abang di sini sebagai pusat pendaratan penyu. Bilangan penyu yang bertelur di pantai ini semakin merosot termasuk spesies belimbing yang kali terakhir dilihat pada tahun 2017.

"Ia menyebabkan kehadiran pelancong semakin merosot sedangkan dahulunya kita dianggap tidak sah melancong ke Terengganu sekiranya tidak singgah ke Rantau Abang," katanya pada program pelepasan 1,992 penyu agar di Pantai Rantau Abang di sini semalam.

Lizan berkata, antara inisiatif yang diambil ialah memperbanyak lagi proses pelepasan anak penyu di Pantai Rantau Abang dengan harapan sebilangan daripada haiwan reptilia itu akan kembali untuk bertelur apabila dewasa.


Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Perikanan negeri untuk melakukan hebahan aktiviti pelepasan anak penyu terbabit secara berkala. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment