KUALA TERENGGANU – Seekor tapir dewasa yang terjatuh ke dalam parit selepas tersesat masuk ke dalam Kampung Kubang Tepak, Manir dekat sini berjaya diselamatkan.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kubang Tepak, Yusof Umar berkata, kelibat tapir yang mengerang kesakitan di dalam parit berkenaan disedari beberapa penduduk kampung pada pukul 10.45 malam kelmarin.
Menurut Yusof, pihaknya kemudiannya menghubungi pihak bomba untuk memohon bantuan menyelamatkan haiwan terancam itu.
“Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian berjaya menaikkan tapir tersebut dari parit terbabit pada pukul 1 pagi tadi (semalam).
“Begitu pun, haiwan tersebut telah bertindak agresif dan melarikan diri sebaik diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Yusof berkata, tapir berkenaan bagaimanapun berjaya ditangkap semula ketika ditemui dalam keadaan lemah tidak jauh dari lokasi dia terjatuh kira-kira sejam kemudian.
“Tapir terbabit telah diserahkan kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara) Terengganu untuk tindakan susulan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, haiwan yang dianggarkan seberat lebih 100 kilogram itu dipercayai tersesat memasuki perkampungan mereka dari hutan belukar berhampiran.
No comments:
Post a Comment