Translate

Friday, September 6, 2019

Penganggur simpan pil kuda RM600,000 dalam rumah

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang penganggur yang baru hendak berjinak-jinak menjadi pengedar dadah tidak kesampaian apabila dia diberkas polis di rumahnya di Kampung Padang Machang, Manir dekat sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, sebanyak 60,000 pil berwarna merah dan hijau disyaki syabu dianggarkan bernilai RM600,000 telah berjaya dirampas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, rampasan dadah daripada lelaki berusia 34 tahun tersebut me­rupakan yang terbesar di ne­geri ini pada tahun 2019.

“Suspek mengaku baru pertama kali mengambil bekalan dadah terbabit dari negara jiran dan bercadang untuk mengedarkannya bagi pasaran di daerah ini dan Kuala Nerus.

“Berdasarkan soal siasat awal, bekalan dadah dalam skala besar berkenaan telah disimpan di rumahnya sejak Hari Raya Aidiladha pada bulan lalu dan dia sedang menunggu masa sesuai untuk mengedarkannya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Aidi berkata, sewaktu serbuan, lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran pasukan polis cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas di tangga rumahnya.

Menurut beliau, suspek kemudian menunjukkan lokasi dia menyembunyikan kesemua bekalan dadah miliknya yang disembunyikan di dalam sebuah bilik.

“Ujian air kencing suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Sek­syen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu mendapati dia positif syabu.

“Dia ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment