Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah yang disyaki mengalami gangguan emosi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia tiga bulan, dua minggu lalu.
Tertuduh Nur Najihah Zulkiflee, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Nur Najihah didakwa menyebabkan kematian bayinya, Medina Sandra Mohd. Saddly di sebuah rumah di Felda Neram 2, Chukai, Kemaman pada pukul 11.30 pagi, 11 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan hanya ibu kandungnya boleh menjadi penjamin.
Mahkamah mengenakan syarat tambahan kepada Nur Najihah supaya tidak menganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Oktober depan.
Kosmo! 12 September lalu melaporkan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia akibat lemas dipercayai ditekup dengan sesuatu objek oleh ibunya yang dipercayai gila meroyan.
Kejadian tersebut disedari suami wanita itu yang berusia 27 tahun sewaktu pulang sebentar ke rumah.
Nur Najihah ketika itu memberitahu suaminya, bahawa dia telah menghantar bayi sulungnya ke syurga.
No comments:
Post a Comment