Oleh MOHD. AZLI ADLAN
PAHANG tetap berkeyakinan tinggi bahawa gelaran naib juara Liga Super masih dalam genggaman mereka walaupun hajat untuk menjamin status tersebut tertunda kelmarin setelah diikat 1-1 oleh Terengganu Football Club I (TFC I).
Penolong Jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata, skuad Tok Gajah akan cuba memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada baki dua perlawanan terakhir untuk mengesahkan gelaran sebagai naib juara Liga Super musim ini.
“Kami akan tetap berusaha (bergelar naib juara Liga Super) kerana ketika ini kami hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua mata.
“Saya percaya beraksi di gelanggang sendiri (Stadium Darul Makmur) pada dua baki perlawanan menentang Felda United dan Melaka United nanti mampu memberi kelebihan kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
Pahang yang sudah mengutip 37 mata daripada 20 aksi Liga Super setakat ini, selesa mengatasi lima mata ke atas Melaka United yang berada di posisi ketiga.
Kejuaraan Liga Super sudah pun disahkan lebih awal oleh juara bertahan enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bergelar naib juara musim ini bakal menjadi penawar buat Pahang yang kempunan mempertahankan Piala FA selepas tumpas 3-4 secara agregat kepada Perak di separuh akhir baru-baru ini.
Mengulas pertemuan dengan TFC I, Ahmad Shaharuddin memberitahu satu mata yang berjaya di curi pada aksi berkenaan sudah cukup bermakna buat skuad Tok Gajah.
Beliau berkata, Pahang bertandang ke Kuala Terengganu dengan misi untuk menang, namun mendapat tentangan hebat daripada skuad Penyu.
“Kebiasaannya pertembungan ‘derbi Pantai Timur’ antara Pahang dan TFC I memang sentiasa menjanjikan pertarungan yang mendebarkan.
“Apa pun tahniah kepada pemain-pemain saya kerana masih dapat merealisasikan misi sekurang-kurangnya memperolehi satu mata pada aksi ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment