Translate

Monday, July 8, 2019

Tiga penyamun enam kedai serbaneka diberkas

KUALA TERENGGANU – Kerakusan tiga sekawan termasuk seorang wanita disyaki menyamun enam kedai serbaneka di tiga buah negeri termasuk di Terengganu dalam tempoh lapan jam berakhir apabila mereka ditahan di Selayang, Selangor kelmarin.

Kesemua aktiviti samun itu dipercayai dilakukan ketiga-tiga penjenayah terbabit pada satu malam sahaja iaitu dari pukul 9 malam, Jumaat lalu hingga 5 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, dua daripada kes samun disyaki dilakukan kumpulan suspek yang kesemuanya berusia 20-an itu berlaku di dua kedai serbaneka masing-masing di Ladang dan Chabang Tiga di sini.

Katanya, kedua-dua kedai serbaneka itu disamun dalam kejadian selang 30 minit bermula pukul 9 malam sebelum kesemua suspek pulang ke ibu kota dan menyamun pula empat premis perniagaan lain di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek itu datang ke Terengganu dengan menggunakan sebuah kereta sewa jenis Perodua Axia sebelum menyamun dua kedai serbaneka di bandar raya ini.

“Modus operandi mereka ialah suspek wanita berpura-pura sebagai pelanggan akan memasuki kedai serbaneka untuk meninjau keadaan sebelum dua rakan lelakinya menggunakan topeng penutup mulut mengugut juruwang menyerahkan wang,” katanya selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Ke­selamatan Komuniti Terengganu di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini semalam.

Aidi berkata, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah hotel di Selayang, Selangor pada pukul 11 pagi, kelmarin.

Menurut beliau, mereka dipercayai selesai menyamun premis perniagaan keenam dan terakhir di Gombak, Selangor kira-kira pukul 5 pagi, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati jumlah kerugian daripada perbuatan samun itu sangat sedikit memandangkan ke­semua kedai serbaneka tidak menyimpan banyak wang tunai pada waktu malam.

“Suspek didapati positif dadah jenis pil kuda dan kini ditahan untuk membantu siasatan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment