Translate

Wednesday, July 31, 2019

Persiapan rapi Terengganu pertahan kejuaraan keseluruhan Sukma

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kontijen Terengganu melakukan persiapan rapi untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor yang bakal berlangsung dalam tempoh setahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persiapan kontijen negeri bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan terbesar negara itu kini memasuki pada fasa kedua melibatkan 667 atlet.

"Saringan akhir atlet yang bakal mewakili kontijen negeri pada Sukma ke-20 dijangka akan dimuktamadkan pada fasa ketiga menjelang awal tahun hadapan.

"Kita berkeyakinan tinggi untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan memandangkan kontijen kali ini masih lagi diwakili majoriti atlet yang menyumbang pingat pada Sukma ke-19 di Perak pada tahun lalu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Kontijen Terengganu menjelang setahun Sukma 20 yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus semalam.


Wan Sukairi berkata, kontijen Terengganu bakal menyertai 30 acara bakal dipertandingkan pada Sukma 20 di Johor berkenaan dengan sasaran sekurang-kurangnya untuk menyamai pencapaian 56 pingat emas yang telah diraih sebelum ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment