Translate

Sunday, July 28, 2019

TDM menterai perjanjian bekal minyak sawit mentah bernilai RM189 juta

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - TDM Berhad (TDM) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mementerai perjanjian membekalkan minyak sawit mentah (MSM) kepada Ikhasas CPO Sdn. Bhd. (Ikhasas CPO) melibatkan urusniaga bernilai RM189 juta.

Pengerusi TDM, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin berkata, berdasarkan perjanjian tersebut, pihaknya bakal membekalkan 2,500 metrik tan MSM kepada Ikhasas CPO pada setiap bulan dalam tempoh 43 bulan.

"Pembayaran bagi pembekalan MSM ini akan dilunaskan sebanyak tiga kali melibatkan amaun RM63 juta bagi setiap transaksi.

Perjanjian jangka sederhana ini menyokong Rancangan Penciptaan Nilai dan Rancangan Pembangunan Perniagaan TDM dalam menghadapi cabaran harga MSM yang rendah berikutan ketidaktentuan ekonomi global masa kini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raja Idris berkata, transaksi bernilai RM189 juta terbabit diunjur menjadi antara penyumbang utama kepada pelaksanaan pelan perniagaan TDM pada masa akan datang.


Beliau berkata, pihaknya bercadang menggunakan sebahagian amaun yanh bakal diterima terbabit untuk pembayaran balik pinjaman berjumlah RM52.5 juta, perbelanjaan modal (RM10 juta) dan modal kerja (RM125 juta). - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment