Pada aksi itu, ayam tambatan TFC I, Kipre Tchetche menafikan hasrat Kedah untuk meraih tiga mata selepas meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.
Sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini, kebanyakan gol dijaringkan skuad Penyu dihasilkan pada 15 minit terakhir perlawanan terutama pada masa kecederaan.
Penolong Ketua Jurulatih, Mohamad Nik berkata, anak-anak buahnya sekali lagi menunjukkan mentaliti kental dan tidak pernah menyerah kalah sehingga wisel penamat ditiupkan.
“Saya puas hati walaupun kita sekadar meraih satu mata pada pertemuan ini. Anak-anak buah saya menunjukkan karakter sebenar dan kesungguhan mereka amat terserlah sehingga pada minit-minit terakhir perlawanan.
“Kita sepatutnya sudah menang dengan serangan bertalu-talu yang dilancarkan terutama pada separuh masa kedua, namun dinafikan oleh kekebalan pertahanan Kedah meskipun mereka beraksi dengan 10 pemain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Mohamad berkata, percaturan dengan memasukkan pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff dan Muhammad Khairu Azrin Khazali pada babak kedua berjaya memperkemaskan lagi barisan tengah skuad Penyu.
Katanya, Mohamad Rahmat Makasuf yang pertama kali diturunkan selepas dinaikkan pangkat daripada pasukan pelapis, TFC II jelas beraksi gugup manakala pergerakan Chanthacheary Bin didapati agak perlahan menyebabkan kedua-dua pemain itu terpaksa dikeluarkan sejurus tamat babak pertama.
“Abdul Malik pula masih tidak boleh beraksi sepenuh masa kerana baru pulih daripada kecederaan, namun sumbangan diberikan pada aksi ini amat bermakna,” katanya.
No comments:
Post a Comment