Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Perbuatan melampau seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan yang mencuri dan memecah masuk dua buah kedai dobi layan diri di Kuala Nerus bulan lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Remy Izwan Roseli, 39, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu.
Sebelum ini, tertuduh yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu sebutan pertama kes itu pada 18 Jun lalu.
Bagaimanapun, teman wanita Remy Izwan, Aimi Shairai Ismail, 32, yang dituduh atas kesalahan sama mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Abdul Hayyi memerintahkan Remy Izwan menjalani hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan mencuri dan empat tahun bagi kesalahan memecah masuk premis. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Majistret kemudian menetapkan 15 Julai depan sebagai sebutan semula kes melibatkan Aimi Shairai selain mengekalkan wang jaminan RM12,000 terhadap wanita itu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Remy Izwan dan Aimi Shairai didakwa bersama-sama cuba mencuri di sebuah kedai dobi layan diri di Rimba Square, Gong Badak, Kuala Nerus antara pukul 4 pagi dan 4.53 pagi, 7 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, kedua-dua tertuduh didakwa memecah masuk sebuah kedai dobi layan diri lain di Dataran Tembusu, Kuala Nerus dan mencuri wang tunai RM1,000 antara pukul 5.48 pagi dan 7.20 pagi pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full, manakala Remy Izwan dan Aimi Shairai tidak diwakili peguam.
Kosmo! 12 Jun lalu melaporkan seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan dan teman wanitanya ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pecah masuk sebuah kedai dobi layan diri di Gong Badak, Kuala Nerus pada 3 Syawal lalu.
Pasangan kekasih itu ditahan di sebuah rumah di Damansara Perdana, Selangor pada pukul 1.35 petang, 10 Jun lalu.
No comments:
Post a Comment