Translate

Friday, July 12, 2019

TFC I mahu balas dendam terhadap skuad Tok Gajah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) menanti kunjungan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam ini dengan misi untuk membalas dendam.

Ayam tambahan TFC I, Kipre Tchetche berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya mahu melangsaikan ‘hutang lama’ selepas dibelasah skuad Tok Gajah 0-4 pada aksi suku akhir kedua Piala FA yang menjadi antara punca peletakan jawatan bekas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim sebelum ini.

“Pahang memang skuad yang mantap pada musim ini tetapi perlu diingat kami juga pernah menewaskan pasukan itu sebelum ini, termasuk pada aksi suku akhir pertama Piala FA di laman sendiri.

“Sudah pasti, kami tidak akan memberi muka kepada Pahang tetapi sebaliknya mahu membalas dendam, apatah lagi malam esok (ini) merupakan aksi ter­akhir Liga Super di gelanggang sendiri pada musim ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Tchetche yang sudah meledak enam gol pada musim ini berkata, TFC I kini berada pada landasan baik untuk mencatatkan kemenangan terhadap Pahang yang kini berada di posisi kedua Liga Super.

Ujar pemain import kela­hiran Ivory Coast itu, keputusan memberangsangkan ter­utamanya sejak empat aksi lalu telah melonjakkan kembali moral TFC I yang sebelum ini agak merundum berikutan pengunduran Irfan Bakti.

“Kami juga sedar kemena­ngan kedua-dua aksi terakhir liga ini termasuk dengan Pahang malam esok (ini), membolehkan kami terus memungut mata bagi terus mendaki kedudukan terbaik liga.

“Walaupun persaingan antara posisi kedua hingga keenam liga agak sengit, tidak mustahil kami mampu mengakhiri liga pada posisi lebih baik daripada musim lalu jika tidak melepaskan sebarang mata pada dua pertemuan terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment