Translate

Monday, July 22, 2019

Heret dalang ke muka pengadilan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Beberapa pemimpin parti politik mahu tindakan segera diambil ke atas pihak yang terlibat dan bertanggungjawab dalam skandal video seks songsang yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kelmarin yang mengesahkan hasil analisis oleh pihak CyberSecurity Malaysia mendapati kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, rakyat negara ini sudah pastinya mahu mengetahui tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak bertanggungjawab yang dikatakan telah diupah untuk menghasilkan video terbabit.

“Kalau sudah dikatakan tulen, maka benarlah ia memang tulen, tetapi jangan kata tulen sahaja, apa tindakan selanjutnya?

“Itu persoalan yang akan ditanya dan kalau betul tulen, ambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyua­rat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan Abdul Hamid yang mendedahkan video seks songsang yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit selain didalangi seorang pemimpin parti politik.

Beliau bagaimanapun berkata, analisis oleh pakar CyberSecurity Malaysia gagal mengecam wajah pelaku dalam video ber­kenaan walaupun kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi.

Di Shah Alam, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari berkata, tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini susulan penyebaran video seks tersebut.
Beliau berkata, dalang dan individu yang terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu perlu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya tanpa mengira kedudukan dan status individu berkenaan.

“Bagaimanapun, keadilan juga harus diberikan kepada dia (yang dituduh) untuk membela diri dan sebagainya jika dia percaya dia tidak melakukan kesalahan,” kata Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor di sini semalam.

Tambahnya, mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan adalah ketinggalan zaman kerana rakyat telah lama menolak perbuatan politik kotor sedemikian.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Ha­ziq Abdullah Abdul Aziz me­ngaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

No comments:

Post a Comment