Translate

Saturday, July 20, 2019

Pujuk penyu kembali bertelur di Terengganu

PENYU amat sinonim dengan Terengganu sehinggakan skuad bola sepak negeri yang kini dijenamakan sebagai Terengganu Football Club masih mendapat jolokan Skuad Penyu.

Pesisiran pantai Terengganu khususnya di Rantau Abang, Dungun menjadi tumpuan empat spe­sies penyu iaitu belimbing, lipas, karah dan agar melakukan pendaratan bagi bertelur.

Pada zaman kegemilangannya pada tahun 1960-an hingga lewat 1980-an, dianggarkan lebih kurang 9,000 telur penyu belimbing dapat dikutip di sekitar Rantau Abang pada setiap tahun.

Maka tidak hairan Rantau Abang ketika itu menjadi tumpuan pelancong untuk melihat pendaratan penyu belimbing atau nama saintifiknya Dermochelys Coriacea bertelur sehinggakan spesies penyu terbesar dunia tersebut dipilih sebagai ikon Terengganu.

Begitupun, semuanya tinggal sejarah apabila bilangan penyu mendarat untuk bertelur di pesisir pantai Terengganu semakin hari semakin berkurangan setiap tahun sejak lewat 1990-an.

Menurut Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali, dua spe­sies penyu iaitu belimbing dan lipas masing-masing sudah tidak lagi mengunjungi pantai negeri tersebut untuk bertelur sejak dua tahun dan 16 tahun lalu.

“Kali terakhir penyu lipas mendarat di kawasan pantai Terengganu adalah pada tahun 2003 manakala penyu belimbing pula September 2017 malangnya 92 biji telurnya gagal menetas.

“Bilangan pendaratan dua lagi spesies penyu iaitu karah dan lipas pula dilihat makin berkura­ngan setiap tahun,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Zawawi berkata, sebanyak 3,815 pendaratan penyu karah dan lipas telah direkodkan di Terengganu pada tahun lalu dan ia sedikit merosot berbanding 3,888 kali pada tahun 2017.

Ujarnya, berdasarkan kajian,  kesemua spesies penyu berkenaan termasuk belimbing dan lipas dikesan masih berada di perairan Terengganu namun seakan-akan enggan mengunjungi pantai ne­geri ini lagi untuk bertelur.

“Kita perlu mengetahui punca-punca yang menyebabkan keba­nyakan penyu tersebut ‘merajuk’ dan mencari jalan penyelesaian untuk ‘memujuk’ haiwan reptilia itu agar kembali ke pantai Terengganu.

“Sehubungan itu, kita akan menggembleng tenaga dengan semua pemegang taruh yang berkepentingan dalam usaha pemuliharaan haiwan reptilia yang semakin terancam ini untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Zawawi berkata, antara inisiatif bakal diambil ialah menganjurkan bengkel pengurusan strategik penyu di Terengganu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tabung Alam Sedunia (WWF) pada Oktober depan.

Menurutnya, antara cadangan yang bakal diperhalusi dalam bengkel itu ialah keperluan membeli telur penyu belimbing dari Papua New Guinea bagi tujuan penetasan di Terengganu.

“Sebahagian besar anak penyu belimbing yang bakal berjaya ditetaskan daripada telur penyu yang dibawa dari Papua New Guinea itu dicadang dilepaskan semula ke laut menerusi persisir pantai Terengganu dengan harapan ia bakal kembali semula untuk bertelur apabila matang kelak,” katanya.

Sementara itu, seorang pemajak, Roslan Mohamad yang dilantik menjalankan aktiviti pemuliharaan penyu di pesisir pantai Paka, Dungun hingga Kemasik, Kemaman berpendapat, ‘rajuk’ penyu terutama spesies belimbing itu bersebab.

“Pendedahan keterlaluan terhadap aktiviti melihat penyu bertelur bagi tujuan pelancongan termasuk pemasangan lampu limpah sehingga awal tahun 1990-an menjadi antara punca penyu merasakan pantai Rantau Abang bukan lagi habitat yang sesuai.

“Penyu merupakan haiwan yang amat sensitif dan tidak akan naik untuk bertelur di kawasan bising dan bercahaya cerah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ke­sedaran terhadap pemuliharaan penyu di Terengganu semakin tinggi, namun ‘rajuk’ sang penyu masih berpanjangan sehingga spesies belimbing dilihat lebih gemar memilih pantai di Indonesia dan Papua New Guinea untuk bertelur.

“Faktor kebersihan pantai juga memainkan peranan penting kerana penyu betina biasanya bertelur di pantai berhampiran perairan yang masih mempunyai banyak sumber makanan.

“Saya juga harap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas mengharamkan penggunaan pukat pari dalam kalangan nelayan yang menjadi punca utama kepupusan penyu,” katanya.

Tambah Roslan, dianggarkan kira-kira 12 hingga 25 bangkai penyu telah dijumpai di sekitar kawasan pesisir pantai jagaan sepanjang 30 kilometer dari Paka, Dungun hingga Kemasik, Kemaman pada setiap tahun akibat terjerat ke dalam pukat.

No comments:

Post a Comment