Translate

Thursday, July 25, 2019

Saksi aksi Muay Thai percuma pada kejohanan Terengganu Fight

PEMINAT Muay Thai disaran tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan Terengganu Fight anjuran bersama Persatuan Muay Thai Negeri Terengganu (PMTNT)dan Pertubuhan Kebajikan Bumiputera Malaysia yang akan diadakan pada 2 Ogos depan.

Tambah istimewa, kemasukan bagi kejohanan yang bakal diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu berkenaan adalah percuma.

Presiden PMTNT, Najmi Abdullah berkata, kejohanan Terengganu Fight tersebut merupakan hadiah pihaknya kepada peminat tegar Muay Thai di negeri ini dan sekitar yang telah memberikan sambutan luar biasa kepada penganjuran edisi pertamanya pada tahun lalu.

"Seramai hampir 5,000 peminat telah membanjiri Stadium Tertutup Gong Badak pada tahun lalu bagi menyaksikan kejohanan edisi pertama tersebut yang turut dimeriahkan oleh lagenda Muay Thai, Saenchai.

"Pada tahun ini, kita tampilkan 12 atlet Muay Thai yang tidak kurang hebatnya seperti Felipe Lobo Amantha dari Brazil, Rungravee Sasiprapa (Thailand), Ayoub Sadam Sergama (Algeria) dan Latxasak Souliyavong (Laos)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Najmi berkata, Terengganu Fight turut bakal menampilkan atlet-atlet kebangsaan seperti kapten Muay Thai Malaysia kelahiran Terengganu, Muhamad Ali Yaakub; Ain Kamarrudin yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2017; Ropi Kuda Merah dan Kabilan Jeleven. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment