Translate

Thursday, July 18, 2019

Kes curi motosikal, pecah rumah meningkat 12 peratus di Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu memberi fokus khusus untuk memerangi jenayah kecurian motosikal dan pecah rumah yang semakin menjadi-jadi di negeri ini sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kedua-dua kes kecurian terbabit menjadi penyumbang utama kepada kenaikan kadar indeks jenayah negeri kepada 12 peratus pada enam bulan pertama tahun ini.

"Kes jenayah di negeri ini bertambah kepada kira-kira 100 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu dengan kebanyakannya melibatkan kecurian motosikal dan pecah rumah.

"Sehubungan itu, kita akan memberi fokus untuk memerangi kedua-dua jenis jenayah itu menerusi pendekatan operasi bersepadu terutama melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di seluruh daerah di negeri ini," katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Terengganu antara Asisten Komisioner Noorhalim Nordin dan Superintendan Mohd. Aluwi Hussain di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.


Aidi berkata, beliau telah mengarahkan kepada kesemua ketua polis daerah di negeri ini melakukan operasi bersepadu membanteras jenayah curi motosikal dan pecah rumah pada setiap hari. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment