Translate

Monday, July 29, 2019

Nenek dapat hak penjagaan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hak penjagaan tiga beradik yang diabai setelah ditinggalkan ibu mereka di sebuah rumah teres di Kuala Berang, Hulu Terengganu awal bulan ini diserahkan kepada nenek mereka.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, keputusan tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Berang semalam.

“Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda hari ini (semalam) memutuskan mereka yang sebelum ini ditempatkan sementara di Rumah Sinar Harapan Kuala Terengganu dipelihara nenek mereka iaitu ibu tertuduh (Siti Minah Muhammad, 32,).

“Penyerahan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut daripada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penjaga perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelasnya, dengan perintah mahkamah tersebut tiga beradik yang berusia enam, lapan dan 12 tahun itu akan menetap di Kuala Krai, Kelantan.

Sementara itu, Mohd. Adli memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu juga dijadual untuk mendengar sebutan semula kes ibu mereka, Siti Minah yang menghadapi tiga pertuduhan mengabaikan anak-anaknya ia­itu seorang lelaki dan dua perempuan pada hari ini.

Kosmo! 12 Julai lalu melapor­kan Siti Minah yang juga ibu tunggal mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membiarkan tiga anaknya tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001.

Dia didakwa meninggalkan anak-anaknya di sebuah rumah di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Padang Setengge, Kuala Berang, Hulu Terengganu selama tiga hari sehingga 3 Julai lalu semata-mata mengikut teman lelaki ke Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment