Translate

Monday, July 29, 2019

Dijel 3 tahun tikam isteri enggan rujuk semula

BESUT – Tindakan seorang nelayan menikam bekas isterinya menggunakan pemutar skru kerana enggan rujuk semula berbalas apabila dia dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Norshuzianna Shakilq Raja Mamat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Che Mohd. Azlan Muda, 31, yang berasal dari Kuala Besut dekat sini mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Che Mohd. Azlan didakwa mencederakan Hidayah Ismail, 28, di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar dekat sini pada pukul 4 petang, 24 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pergi ke kedai makan tempat mangsa bekerja untuk memujuk supaya rujuk semula.

Mangsa yang sedang berada di bilik solat kedai makan tersebut enggan melayan permintaan bekas suaminya itu menyebabkan tertuduh berang lalu menikam muka mangsa dengan pemutar skru.

Difahamkan tertuduh dan bekas isterinya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun telah bercerai dua tahun lalu selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

No comments:

Post a Comment