Translate

Monday, July 22, 2019

Kakitangan Genting teruja pulihara penyu

KEMAMAN – Seramai 50 kakitangan Genting Malaysia Berhad (Genting) teruja menyertai program Pemuliharaan Penyu di Resorts World Kijal dekat sini baru-baru ini.

Naib Presiden Komunikasi dan Perhubungan Korporat Genting, Datuk Seri Kay Parasuraman berkata, kesemua peserta merupakan sukarelawan Genting Green Generation (G3) yang ditubuhkan sejak tahun 2017.

“G3 merupakan inisiatif Genting untuk membentuk tenaga kerja melindungi alam sekitar, menjaga pelanggan dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi masyarakat setempat.

“Sepanjang dua tahun penubuhannya, sebanyak 15 program berkaitan alam sekitar dan gaya hidup sihat melibatkan sukarelawan G3 telah dianjurkan termasuk program Pemuliharaan Penyu di Resorts World Kijal dekat sini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, sepanjang program dua hari itu, sukarelawan G3 didedahkan dengan usaha-usaha pemuliharaan penyu dan alam sekitar menerusi sesi ceramah daripada Tabung Alam Sedunia (WWF),  gotong-royong pembersihan pantai, aktiviti penanaman telur ke dalam pasir dan pelepasan anak penyu ke laut.

“Sebenarnya persisir pantai Resorts World Kijal sepanjang 7.5 kilometer merupakan salah satu pusat pendaratan penyu di Terengganu.

“Sebanyak 180 rekod pendaratan dengan 16,300 telur penyu telah dikutip di sekitar pantai peranginan ini sejak tahun 2000. Dalam tempoh sama, kira-kira 15,000 anak penyu telah dilepaskan ke laut,” jelasnya.

Kay memberitahu, pelanggan resort berpeluang menyertai aktiviti melepaskan anak penyu ke laut, menanam telur penyu dalam pasir dan melihat penyu bertelur pada waktu malam.

“Setakat ini, lebih 5,000 pelanggan Resorts World Kijal telah menyertai program pemeliharaan dan pemuliharaan penyu.

“Pengurusan Resorts World Kijal sentiasa mahu mendidik pelawat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak berhubung kepentingan melindungi penyu dan habitatnya yang semakin terancam,” katanya.
Sementara itu salah seorang sukarelawan G3, Norlizan Sudarman, 39, berkata, peluang untuk terlibat dalam program pemuliharaan penyu me­rupakan pengalaman yang manis.

“Tidak dapat digambarkan perasaan apabila berpeluang melepaskan anak penyu ke laut,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment