Translate

Monday, July 22, 2019

Liga Super: Pahang yakin gelaran naib juara dalam genggaman

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pahang berkeyakinan gelaran naib juara Liga Super masih hampir dalam genggaman walaupun hajat itu tertunda malam tadi setelah diikat 1-1 oleh Terengganu Football Club I (TFC I).

Penolong Ketua Jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata, skuad Tok Gajah akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada baki dua aksi terakhir untuk mengesahkan posisi di tempat kedua Liga Super berkenaan.

"Kita akan usaha (bergelar naib juara Liga Super) dengan hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua mata.

"Saya percaya beraksi di gelanggang sendiri (Stadium Darul Makmur) pada dua baki perlawanan musim ini menentang Felda United dan Melaka United memberi kelebihan kepada kami," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu malam tadi.

Pahang yang sudah mengutip 37 mata daripada 20 aksi Liga Super setakat ini kini ampuh lima mata di hadapan Melaka United yang berada di posisi ketiga.


Kejuaraan Liga Super sudah disahkan awal oleh juara bertahan enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bergelar naib juara bakal menjadi penawar buat Pahang yang kempunan mempertahankan Piala FA selepas tumpas 3-4 secara agregat dengan Perak pada pertembungan separuh akhir baru-baru ini. -K! ONLINE

No comments:

Post a Comment