Translate

Tuesday, July 9, 2019

Cedera dibelasah guna paip besi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki cedera pada bahagian muka dan kepala selepas dibelasah dengan paip besi oleh dua lelaki tidak dike­nalinya dalam kejadian dipercayai bermotifkan samun di Jalan Kampung Panchor, Teluk Kalong, Kemaman pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, mangsa berusia 22 tahun dalam perjalanan ke sebuah premis perniagaan di Telok Kalong di sini dengan memandu kereta Pe­rodua Viva.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim (gambar kecil) berkata, sewaktu tiba di lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba ditahan oleh seorang lelaki.

“Lelaki yang menutup muka­nya dengan baju-T yang dipakai kemudian membuka pintu tempat duduk pemandu sebelum menolak mangsa ke tempat duduk belakang selepas kereta itu diberhentikan.

“Seorang lagi suspek memasuki kereta mangsa dari pintu tempat duduk penumpang hadapan yang tidak berkunci,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Said berkata, mangsa mendakwa telah diperas ugut untuk memberikan wang oleh kedua-dua suspek berkenaan.

Katanya, dia yang enggan menyerahkan wang kemudian dipukul dengan sebatang paip besi pada bahagian muka dan kepala manakala kedua-dua ta­ngannya dipegang oleh salah seorang suspek.

“Kedua-dua suspek yang menutup sebahagian muka mereka dengan baju-T dipakai kemudian melarikan diri.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini sebelum membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini tidak lama kemudian,” jelasnya.

Mohd. Said berkata, siasatan polis berjaya menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an yang disyaki terlibat dalam kes tersebut di sekitar daerah ini semalam.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment