Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Perbuatan melampau seorang pensyarah sebuah institut pengajian tinggi mencabul pelajar perempuan di dalam biliknya memakan diri apabila dia ditahan dalam kejadian di Dungun baru-baru ini.
Kejadian pada 23 Jun lalu itu berlaku apabila pensyarah lelaki berusia dalam lingkungan 50-an tersebut didakwa memegang bahu dan cuba mencium mangsa yang berumur 19 tahun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila suspek memanggil mangsa datang ke biliknya kononnya untuk membincangkan sesuatu.
Katanya, sebaik masuk ke dalam bilik, mangsa mendakwa suspek yang juga pensyarahnya cuba melakukan gangguan seksual ke atasnya selain menawarkan diri untuk menjadi sugar daddy dengan bayaran RM500 sebulan.
“Tawaran untuk menjadi perempuan simpanan lelaki itu bagaimanapun ditolak oleh mangsa sebelum dia cuba keluar dari bilik suspek.
Ketika itulah suspek didakwa sempat memegang bahunya dan cuba menciumnya tetapi sempat dielak sebelum pelajar itu melarikan diri.
“Keesokan harinya, suspek telah menghubungi mangsa dan sekali lagi mengajukan tawaran sama kepada pelajar perempuan berkenaan selain mengajaknya berjumpa di bilik namun ditolak,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, mangsa yang trauma dan bimbang mengenai keselamatan dirinya telah membuat laporan di Balai Polis Dungun pada hari sama sebelum polis memberkas pensyarah berkenaan tidak lama kemudian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Suspek kemudian dibebaskan selepas keterangannya diambil dan polis telah melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment