HULU TERENGGANU – Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengabaikan tiga anaknya dengan meninggalkan mereka bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa di Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini semalam.
Pembantu kedai makan, Siti Minah Muhammad, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Siti Minah didakwa membiarkan tiga anaknya yang berusia enam, lapan dan 12 tahun tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan di sebuah rumah di Perumahan Awam Kos Rendah Padang Setengge, Kuala Berang dekat sini pada pukul 10 pagi, 3 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan perintah khidmat masyarakat antara 35 jam hingga 240 jam di atas budi bicara mahkamah.
Majistret Engku Nurul Ain kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM9,000 selepas mendengar hujahan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Tuan Rosnah Tuan Husain dan peguam, Mastura Amira Mohd. Idris selain menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh bagaimanapun dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan selepas gagal membayar wang jaminan itu.
Pada 5 Julai lalu, Kosmo! melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu menyelamatkan tiga beradik itu yang ditinggalkan bersendirian selama tiga hari di rumah sewa itu oleh tertuduh yang mengikut teman lelakinya ke Kuala Lumpur.
Sepanjang tempoh ditinggalkan, tiga beradik tersebut mengharap ihsan jiran-jiran untuk menghulurkan wang bagi membolehkan mereka membeli makanan harian.
No comments:
Post a Comment