Translate

Friday, July 19, 2019

Tiada waris tuntut hak penjagaan tiga beradik diabai ibu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tiada seorang pun waris tiga beradik yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu kerana disyaki diabai ibu kandung di Padang Setengge, Kuala Berang, Hulu Terengganu kelmarin tampil menuntut hak penjagaan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, budak lelaki berusia 12 tahun dua adik perempuannya yang berusia enam dan lapan tahun kini ditempatkan di Rumah Sinar Harapan di sini.

"Kesemua kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah jagaan JKM negeri di Rumah Sinar Harapan Kuala Terengganu setelah menerima perintah dari Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.

"Setakat ini, masih tiada waris yang tampil menuntut hak penjagaan terhadap ketiga-ketiga mangsa berkenaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan tiga beradik berkenaan disyaki ditinggalkan bersendirian oleh ibu kandungnya di dalam sebuah rumah teres setingkat yang disewa mereka selama tiga hari sebelum diselamatkan seorang pegawai JKM Terengganu.

Ibu kandung mereka yang telah berpisah dengan bekas suaminya sejak beberapa tahun lalu dipercayai meninggalkan mereka untuk mengikut teman lelakinya ke Kuala Lumpur.


Dalam perkembangan sama, Mohd. Adli berkata, pihak polis masih menjejak ibu tiga beradik itu berusia 32 tahun yang dipercayai masih berada di Kuala Lumpur. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment