Oleh MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Hanya kerana mengikut teman lelaki ke Kuala Lumpur, seorang ibu tunggal tergamak meninggalkan tiga anaknya yang masih kecil selama tiga hari dalam keadaan terabai dan kelaparan di sebuah rumah teres setingkat Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Padang Setengge, Kuala Berang di sini kelmarin.
Perbuatan tidak bertanggungjawab wanita berusia 32 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas ketiga-tiga anak mangsa iaitu seorang lelaki dan dua perempuan berusia enam hingga 12 tahun diselamatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu.
Ketika kunjungan dibuat ke atas rumah sewa dihuni tiga beradik itu kira-kira pukul 10 pagi kelmarin, pegawai JKM mendapati kesemua mangsa dalam keadaan tidak terurus manakala rumah tersebut bersepah.
Difahamkan, ibu kandung kanak-kanak tersebut dipercayai telah mengikut teman lelakinya ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pegawai JKM Terengganu berkenaan melakukan lawatan ke rumah tiga beradik itu selepas menerima aduan daripada jiran-jiran mangsa yang bimbang mengenai keselamatan mereka.
“Siasatan mendapati tiga beradik itu dipelihara ibu mereka yang merupakan ibu tunggal dan telah berpisah dengan suaminya sejak beberapa tahun lalu.
“Mereka disyaki telah ditinggalkan secara bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa di dalam rumah tersebut selama tiga hari sejak hujung minggu lalu.
“Pihak JKM juga tidak menemui sebarang nota yang ditinggalkan ibu mereka di dalam rumah sewa berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, tiga beradik itu terpaksa berlapar dan hanya mendapat belas kasihan daripada jiran-jiran yang menghulurkan duit bagi membeli makanan harian.
Tambahnya, siasatan lanjut JKM Terengganu juga mendapati, hanya abang sulung berusia 12 tahun bersekolah di sebuah sekolah rendah di Kuala Berang dekat sini namun rekod kehadirannya amat tidak memuaskan.
“Dua adik perempuannya yang masing-masing berusia lapan dan enam tahun pula tidak pernah dihantar ke sekolah.
“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal pada ketiga-tiga beradik itu selepas dirujuk di Hospital Hulu Terengganu di sini tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan penderaan,” tambahnya.
Jelasnya, JKM Terengganu telah berjaya mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Berang agar kesemua kanak-kanak tersebut ditempatkan sementara di Pusat Perlindungan Sinar Harapan, Kuala Terengganu dekat sini.
“Berdasarkan keterangan jiran-jiran, ibu kanak-kanak malang itu tidak gemar bergaul dengan masyarakat sekeliling dan sering melenting sekiranya ada pihak yang mahu mendekati atau membantu tiga beradik itu,” ujarnya.
Mohd. Adli berkata, usaha untuk menjejak ibu mangsa yang dipercayai telah melarikan diri bersama teman lelakinya di Kuala Lumpur sedang giat dilakukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
No comments:
Post a Comment