Translate

Thursday, July 25, 2019

Liga Super: TFC I, Pahang seri 1-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hajat Pahang untuk mengesahkan gelaran naib juara Liga Super tertunda selepas sekadar mencatat seri 1-1 dengan Terengganu Football Club I (TFC I) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, sebentar tadi.

Tuan rumah mendahului 1-0 menerusi pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya yang bijak melepasi kawalan dua pertahanan kental Pahang, Matthew Davies dan Mohamad Muslim Ahmad pada minit ke-42.

Penyerang Pahang yang juga pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menyelamatkan maruah skuad Tok Gajah apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-50.

Terdahulu, Pahang bermula garang namun rembatan kencang pemain tengah, Muhammad Zuhair Aizat Mohd. Nazri pada minit ke-25 berjaya ditepis penjaga gawang TFC I, Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Muhammad Ilham Amirullah sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan Sumareh pada minit ke-41.

Skuad Penyu pula hampir menggandakan jaringan menerusi dua percubaan daripada pemain pertahanan, Adib Aizuddin Ab. Latif dan penyerang import, Kipre Tchetche pada minit-minit terakhir babak pertama tetapi kedua-duanya  berjaya didakap kemas penjaga gol pelawat, Mohd. Remezey Che Ros.


Rembatan lencong pemain pertahanan, Khairul Anwar Shahrudin pada minit-55 pula sekadar melepasi palang. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment