Translate

Thursday, July 18, 2019

Pemandu lori langgar mati rakan sekampung dihukum mati

KUALA TERENGGANU – Perbuatan kejam seorang pemandu lori melanggar dua rakan sekampung sehingga menyebabkan salah seorang daripadanya maut hanya kerana perselisihan faham berbalas apabila dia dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz memerintahkan tertuduh, Azami Mohamad, 45, menjalani hukuman itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Rohadi Zakaria, 49.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Azami kerana didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lagi mangsa, Zakaria Taib, 48.

“Tertuduh juga dikenakan hukuman penjara enam bulan ke­rana membuat laporan palsu berhubung kejadian itu. Ke­semua hukuman penjara berjalan se­rentak dari tarikh tangkapan,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Azami didakwa membunuh Rohadi dan cuba membunuh Zakaria dengan cara melanggar mereka de­ngan sebuah kereta Proton Gen 2 di Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu pada pukul 6 petang, 2 Oktober 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Permaisuri, Setiu pada pukul 6.29 petang, 2 Oktober 2014 kononnya kereta dipandunya telah ditahan ke­dua-dua mangsa dengan bersenjatakan parang di tengah jalan sebelum terlanggar setelah gagal mengelak motosikal ditunggang mereka.

Mengikut fakta kes, Rohadi yang sedang minum bersama Zakaria di sebuah kedai kopi di Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu telah menegur sikap Azami  yang tiba-tiba marah dan mencari orang yang didakwa te­lah mengatanya.

Teguran itu menyebabkan pertengkaran antara Azami dan Rohadi sehingga mangsa yang hilang sabar mahu mengambil sebilah parang di dalam raga motosikalnya, namun berjaya ditenteramkan beberapa pelanggan lain.

Rohadi dan Zakaria kemudian­nya beredar dari kedai kopi itu dengan menunggang motosikal berasingan sebelum Azami didengar telah mengeluarkan ayat ugutan berbunyi: “Aku akan tepuh mu sampai mapuh (Aku akan langgar engkau sampai mati).”

Tertuduh kemudiannya me­ngekori Rohadi dan Zakaria yang mahu pulang ke rumah dengan Proton Gen 2 sebelum melanggar motosikal mereka. Tertuduh kemudiannya membuat pusi­ngan U dan merempuh kedua-dua mang­sa buat kali kedua.

Kesan pelanggaran itu menyebabkan Rohadi mengalami 35 kecederaan yang membawa kepada kematiannya ketika dirawat di Hospital Setiu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam, Harshaan Zamani.

No comments:

Post a Comment