Translate

Monday, July 22, 2019

‘Awang Besol’ jinak sebab virus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seekor harimau belang digelar ‘Awang Besol’ yang ditangkap pihak berkuasa selepas berkeliaran di Kampung Besol Lama, Dungun dekat sini pada Jumaat lalu dipercayai dijangkiti virus Canine Temper Disorder.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan­ Haiwan Liar dan Taman Negara (Per­hilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jangkitan virus itu menyebabkan haiwan berusia lima tahun tersebut mengalami kecelaruan minda sehingga ber­ubah menjadi jinak.

“Pemeriksaan awal mendapati harimau jantan itu mungkin  mengalami simptom dijangkiti virus Canine Temper Disorder.

“Virus yang disebarkan ku­cing dan anjing itu biasa menjangkiti haiwan seperti harimau, tetapi ini kes pertama yang dilaporkan berlaku di Terengganu,” katanya kepada pemberita di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Profesor Adjung Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT me­nyampaikan syarahan ‘Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan’. Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Ainie Mokhtar.

Menurut Abdul Kadir, Awang Besol kini ditempatkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai di Perak dan pihaknya telah mengambil sampel darah haiwan itu untuk dianalisis. Keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir memberitahu,  pihaknya menolak kemungkinan ‘Awang Besol’ dibela kerana fizikal haiwan itu tidak terurus semasa dijumpai pasukan Perhilitan.

“Semasa ditemui, haiwan itu mengalami dehidrasi dan bengkak pada kaki sekali gus tidak menunjukkan ciri-ciri haiwan belaan.

“Kemungkinan besar seekor harimau sahaja yang tersesat bukannya dua ekor se­perti yang didakwa penduduk kampung berdasaran pe­nemuan kesan tapak kaki ‘Awang Besol’ di lokasi tersebut,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya juga menemui kesan tapak kaki seekor harimau bintang yang turut menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung tersebut sebagai habitatnya.

“Kita masih memantau termasuk memasang perangkap sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penduduk kampung,” kata beliau.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan penduduk Kampung Besol Lama gempar apabila dua ekor harimau belang dipercayai ter­sesat masuk ke perkampungan tersebut.

Haiwan itu tidak agresif malah sempat ‘bergurau’ dengan menjilat beberapa penduduk yang mendekatinya.

No comments:

Post a Comment