Translate

Sunday, July 7, 2019

15 tan metrik durian dilelong bulan depan

KUALA TERENGGANU – Penggemar durian terutama di sekitar bandar raya ini berpeluang untuk menikmati raja buah tersebut dengan harga murah menerusi penganjuran Jualan Anak Beranak 2.0 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada awal bulan depan.

Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, program yang bakal diadakan di pekarangan pejabat FAMA negeri, Jalan Hiliran di sini itu merupakan kesinambungan penganjuran yang julung-julung kali pada tahun lalu yang mendapat sambutan luar biasa.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman penganjuran sulung tersebut, sebanyak 16 tan metrik durian pelbagai gred habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

“FAMA bercadang untuk menganjurkan lagi Jualan Anak Beranak ini bagi membolehkan peminat durian di negeri ini menikmati durian pelbagai gred pada harga lebih murah daripada pasaran.

“Walaupun kebanyakan durian di pasaran kini berharga lebih RM10 sekilo, kami akan menjual pada harga lebih murah daripada itu bergantung kepada bekalan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat FAMA Terengganu di sini semalam.

Fauzi berkata, kebanyakan durian yang akan dijual tersebut diperoleh sendiri FAMA daripada pengusaha durian tempatan di sekitar Besut dan Setiu serta negeri jiran, Kelantan yang dijangka mula luruh pada bulan ini.

Fauzi berkata, pihaknya menjangkakan lambakan sekurang-kurangnya 15 tan metrik durian bakal dijual pada program sehari ber­kenaan.

Menurut beliau, program jualan durian itu dijangka diadakan pada minggu pertama Ogos depan memandangkan kebanyakan durian di dusun milik pengusaha tempatan berkenaan hanya akan mula luruh pada pertengahan bulan ini.

“Selain durian, pelbagai buah tempatan lain seperti rambutan, manggis dan dokong turut dijual pada harga RM10 untuk tiga kilogram pada Jualan Anak Beranak 2.0  terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment