Translate

Friday, July 19, 2019

Penyu mahu ganggu pesta Harimau Selatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU FC I (TFC I) berazam untuk ‘merosakkan’ pesta pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal menjulang Piala Liga Super pada pertemuan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Penolong Ketua Jurulatih TFC I, Mohamad Nik berkata, berdasarkan prestasi semasa, beliau optimis anak-anak buah­nya mampu sekurang-kurang­nya mencuri satu mata pada aksi terakhir Liga Super berkenaan.

“Kejayaan mengikat Pahang dan Kedah yang masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga liga dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini telah meningkatkan keyakinan para pemain TFC I untuk menghadapi JDT.

“Tidak mustahil kita mampu mengecewakan JDT di depan penyokong mereka yang sudah pastinya mahu berpesta apabila bakal menerima Piala Liga Super yang dijuarai selepas aksi terbabit,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Piala Liga Super yang dimenangi JDT buat kali keenam berturut-turut pada musim ini dijangka diserahkan kepada skuad kendalian Luciano Figeroa selepas pertemuan terakhir skuad Harimau Selatan menentang TFC I.

Mohamad berkata, kejayaan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) meleburkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan di gelanggang sama pada Selasa lalu turut menyemarakkan lagi semangat anak-anak buahnya.

Menurut beliau, ia membuktikan JDT bukan terlalu kebal di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos yang merupakan gelanggang keramat skuad terbabit.

“Kita juga telah membuktikan mampu mengecewakan JDT pada separuh akhir kedua Piala Malaysia pada musim lalu dan berhasrat untuk mengulanginya pada malam esok (ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment