Translate

Monday, July 22, 2019

Keputusan ujian kesihatan Awang Besol diketahui seminggu lagi

KUALA LUMPUR – Keputusan saringan kesihatan harimau jantan yang diberi gelaran ‘Awang Besol’ yang tersesat masuk ke sebuah kampung di Bukit Besi, Terengganu kelmarin mengambil masa lebih kurang seminggu sebelum dapat diketahui.

Ketua Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Hasdi Hassan berkata, haiwan itu telah dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar di Sungkai, Perak petang semalam selepas berjaya ditangkap oleh pasukan Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kelmarin.

“Sekarang ini kami sedang melakukan ujian saringan kesihatan terhadap harimau ber­kenaan, namun keputusannya dijangka dapat diketahui dalam masa seminggu lagi.

“Bagiamanapun, hasil pe­me­riksaan awal mendapati kea­daan harimau tersebut tiada masalah, cuma ada kesan luka pada badan.

“Kita tidak pasti kesan luka tersebut disebabkan apa dan rawatan telah diberi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Hasdi menambah, ujian sa­ringan kesihatan tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan kesimpulan daripada analisis sama ada haiwan itu sakit sehingga menyebabkan ia tidak terlalu agresif atau sememang ia bersifat jinak.

Khamis lalu, penduduk Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Terengganu gempar apabila dua ekor harimau belang memasuki kampung itu.
Kehadiran pasangan harimau itu disedari seorang penduduk kampung selepas salah seekor daripada haiwan itu menjilat tubuh badan lelaki berkenaan.

Haiwan berkenaan yang kelihatan jinak turut bergurau dengan beberapa penduduk yang menaiki motosikal dengan cuba mengejar mereka.

Sementara itu, Ketua Pe­ngarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, usa­ha untuk menangkap seekor lagi harimau yang berkeliaran di Kampung Besol Lama masih diteruskan semalam.

Katanya, dua perangkap yang  diletak umpan seekor kambing telah dipasang di lokasi strategik bagi menangkap harimau belang dewasa berkenaan.

No comments:

Post a Comment