Translate

Monday, July 8, 2019

Bapa maut, anak cedera parah kemalangan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Perjalanan dua beranak pulang ke kampung berakhir dengan tragedi apabila bapa maut manakala anak lelakinya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 93, Jalan Aring-Sungai Gawi berhampiran Tasik Kenyir dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, Mohd. Fauzi Azir, 38, yang merupakan kakitangan Jabatan Perhutanan Cameron Highlands, Pahang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, anak lelaki mangsa, Muhammad Alif Syazwan, 8, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan pula patah kedua-dua kakinya.

"Sewaktu kejadian, dua beranak ini difahamkan dalam perjalanan ke kampung halaman di Kampung Jerung, Wakaf Tapai, Marang dari rumah mereka di Kampung Gali, Raub, Pahang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Mohd. Fauzi dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam parit di tepi jalan," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan Mohd. Fauzi telah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.


Menurut beliau, anak mangsa, Muhammad Alif Syazwan pula yang cedera parah dihantar ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment