Translate

Thursday, July 18, 2019

TFC I tetap puas walaupun diikat Pahang

KEJAYAAN mengikat Pahang 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin sudah cukup untuk menceriakan kem Terengganu Football Club I (TFC I).

Penolong Jurulatih TFC I, Mohamad Nik berkata, anak-anak buahnya terus mempamer prestasi konsisten pada pertemuan ‘derbi Pantai Timur’ itu, sekali gus berjaya menghampakan hasrat skuad Tok Gajah untuk mengesahkan gelaran naib juara Liga Super de­ngan lebih awal.

“Walaupun Pahang memberi tentangan hebat, anak-anak buah saya tetap berjaya mempamerkan momentum bertenaga sepanjang aksi 90 minit malam ini (kelmarin).

“Jika tidak kerana kesilapan kecil benteng pertahanan kami yang lambat mengawal pergerakan (penyerang Pahang) Mohamadou Sumareh pada minit ke-50, kemena­ngan sudah pasti milik kami,” kata Mohamad kelmarin.

Pada pertemuan itu, skuad Penyu terlebih dahulu di depan 1-0 menerusi rembatan padu pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-42 sebelum Sumareh yang juga pemain naturalisasi Harimau Malaya menyelamatkan maruah Pahang dengan jaringannya pada babak kedua.

Mohamad berkata, secara ke­seluruhan, beliau masih berpuas hati dengan persembahan barisan pertahanan TFC I yang dibarisi pemain tempatan setelah berjaya mempamerkan peningkatan.

Menurutnya, pemain TFC I berjaya menghalang skuad Tok Gajah daripada memanfaat peluang menerusi situasi bola mati yang sebelum ini menjadi kelemahan ketara benteng mereka.

“Kami amat sedar tiga aksi ter­akhir musim ini dengan menentang tiga pasukan teratas Liga Super iaitu Kedah, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) memang satu cabaran sukar buat kami.

“Oleh itu kejayaan mengikat Kedah (minggu lalu) dan Pahang ini sudah cukup memuas hati saya dan barisan kejurulatihan TFC I,” katanya.

No comments:

Post a Comment