Translate

Wednesday, July 24, 2019

Ahmad Zahid kembali bertugas sebagai Presiden UMNO disambut baik

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kehadiran semula Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerajui UMNO selepas bercuti lebih enam bulan lalu bakal menguatkan lagi parti pembangkang berkenaan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, gandingan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan amat diperlukan pada masa ini bagi memacu parti siasah terbabit menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang tidak mustahil berlaku pada masa terdekat.

"Badan Perhubungan UMNO Terengganu mengalu-alukan keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid kembali bertugas sebagai presiden parti daripada bercuti sebelum ini.

"Itu (kembali bertugas) adalah haknya mengikut perlembagaan parti. Sudah pasti beliau mempunyai misi dan perancangan untuk membawa UMNO kembali mengambil alih kuasa (kerajaan Persekutuan) daripada Pakatan Harapan, (PH)" katanya ketika ditemui pada majlis Mesra bersama Media di sini hari ini.

Kelmarin, Ahmad Zahid mengumumkan menamatkan cutinya daripada tugas Presiden sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO.

Ahmad berkata, biar pun Ahmad Zahid kini berhadapan dengan pelbagai kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah, ia tidak akan menjejaskan reputasi UMNO mahu pun pelan kerjasama dengan Pas kerana semuanya masih peringkat sebutan dan belum dibuktikan bersalah.

Ujar bekas Menteri Besar Terengganu itu, apa yang lebih penting UMNO terus memperjuangkan hak rakyat yang kini semakin resah setelah menyedari PH gagal mentadbir kerajaan dan menunaikan janji-janji yang telah ditabur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"Semakin ramai rakyat yang mengundi PH pada PRU-14 telah menyatakan kekesalan dan mencari UMNO kembali.

"Kebanyakan mereka mengharapkan PRU-15 diadakan segera untuk membetulkan kembali (kesilapan) dan kita (UMNO) menaruh keyakinan tinggi (memenangi pilihan raya)," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment