KUALA TERENGGANU – Seorang bekas kakitangan sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM2 juta.
Tertuduh, Diyana Remle, 30, dari Balai Besar, Dungun dekat sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Ibu dua anak itu didakwa semasa bekerja sebagai juruwang menyalahgunakan wang pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM430,000 milik seorang pelanggan yang diamanahkan kepadanya di Bank RHB cawangan Dungun pada 14 Disember 2017 hingga 12 Disember 2018.
Bagi pertuduhan kedua, Diyana didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan wang pelaburan ASB seorang pelanggan lain berjumlah RM1.58 juta di lokasi sama dari 19 Disember 2018 dan 26 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Shahidah Muslimah Roslan.
Azman membenarkan Diyana yang dipecat daripada tugas pada April lalu dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Julai ini.
Tertuduh yang mengandung enam bulan membayar wang jaminan tersebut.
No comments:
Post a Comment