Translate

Wednesday, July 10, 2019

CUEPACS mohon kadar gaji minimum pekerja disemak semula

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon agar kerajaan menyemak semula kadar gaji minimum dengan segera bagi meringankan kos sara hidup yang semakin membebani rakyat ketika ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, kadar gaji minimum RM1,200 untuk sektor awam dan RM1,100 bagi sektor swasta yang dinikmati sekarang sudah tidak relevan dan sangat tidak memadai terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Hari ini gaji minimum RM1,100 untuk sektor swasta dan RM1,200 bagi sektor kerajaan sangat rendah. Setelah pelbagai potongan dan caruman, gaji bersih bulanan yang dibawa balik cuma RM400 hingga RM500, apa yang hendak dimakan?

“Apa gunanya negara ini berjaya dan mencipta keagungan kalau rakyat miskin dan perlu memban­ting tulang untuk mencari rezeki,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri pe­ringkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin.

Menurut Azih lagi, golo­ngan pekerja sama ada sektor awam dan swasta terutama yang tergolong dalam kategori B40 amat terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini.

Menurut beliau, senario itu jika dibiarkan berlarutan, dikhuatiri boleh menyebabkan kebanyakan rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi membeli kediaman sendiri mahu pun membiayai pe­ngajian anak masing-masing di institusi pengajian tinggi pada masa depan.

“Oleh itu, semakan kadar gaji minimum tersebut dilihat bukan sahaja dapat me­ningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, malah mampu menjana ekonomi negara.

“Saya menaruh kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan kerajaan Pakatan Harapan untuk mempertimbangkannya kerana sudah menjadi sebahagian perjua­ngan mereka untuk meningkatkan gaji pekerja (rakyat),” katanya.

No comments:

Post a Comment