Translate

Monday, July 8, 2019

Penyu mahu curi mata Semut Merah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) akan turun beraksi dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini dengan misi untuk mencuri tiga mata daripada lawan mereka, PKNS FC.

Pengendali sementara TFC I, Nafuzi Mohd. Zain meluahkan keyakinannya bahawa pemain-pemain TFC I akan terus mengekalkan prestasi konsisten mereka, sekali gus mampu menumbangkan PKNS FC pada pertemuan berkenaan.

“Saya sedar rekod pertemuan kami dengan PKNS FC terutama di gelanggang lawan tidak berapa baik, namun saya anggap apa yang telah berlaku sebelum ini hanyalah sejarah.

“Strategi dan taktikal ampuh telah diatur bagi menjinakkan lawan kami itu pada aksi malam esok ( hari ini),” kata Nafuzi ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Menurut Nafuzi, walaupun skuad kendaliannya masih berdepan dengan krisis kecederaan dan pergantungan beberapa pemain utama, namun motivasi dan persefahaman para pemainnya dilihat sudah semakin baik berbanding sewaktu dia mula mengambil alih skuad Penyu itu pada dua bulan lalu.

Sehubungan itu, dia percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk meraih tiga mata penting pada aksi menentang skuad kendalian Datuk K. Rajagopal berkenaan.

“Jangan lepaskan peluang untuk menang. Jika berjaya raih mata dalam aksi ini dan tiga baki perlawanan lain, saya percaya kita mampu menamatkan saingan Liga Super dengan kedudukan lebih baik daripada tempat kelima pada musim lalu,” katanya.

Setakat ini TFC I menghuni tangga ketujuh liga dengan 24 mata dan hanya dibezakan empat mata di belakang Selangor yang kini menduduki tangga keempat.

No comments:

Post a Comment