Translate

Saturday, July 13, 2019

Ibu abai tiga anak serah diri, direman tiga hari

KUALA TERENGGANU –  Ibu tunggal yang menghilangkan diri selama se­minggu selepas didakwa mengabaikan tiga anaknya dengan meninggalkan mereka bersendirian di sebuah rumah sewa di Padang Setengge, Kuala Berang, Hulu Terengganu akhirnya menyerah diri kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, wa­nita berusia 32 tahun itu ditahan selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

“Dia yang mengetahui diburu polis bagi membantu kes pengabaian anak telah menyerah diri ke IPD Hulu Terengganu pada pukul 3 petang kelmarin.

“Sewaktu disoal siasat, wanita yang berasal dari Kampung Kuala Dura, Kuala Berang, Hulu Terengganu itu mengaku meninggalkan ketiga-tiga anaknya selama tiga hari pada minggu lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau telah ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kosmo! 4 Julai lalu melaporkan tiga beradik berkenaan disyaki ditinggalkan bersendirian oleh ibu kandungnya di dalam sebuah rumah teres setingkat yang disewa mereka selama tiga hari sebelum diselamatkan seorang pegawai JKM Terengganu.

No comments:

Post a Comment